Malam tadi semasa mengemas barang-barang, men’campak’ mana yang sudah sepatutnya, terjumpa kalender lama. Padan jugalah kenapa aku masih belum membuangnya. Ada sesuatu yang ingin aku simpan dan sekarang ingin aku kongsikan bersama.

Perumpamaan-perumpamaan yang mengalakkan kita berusaha dan mencapai cita-cita.

[Dipetik dari Pembangunan Leasing Corp Sdn. Bhd, kalender 2005]

  1. Umpama sirih, menjalar dahulu kemudian melilit, barulah memanjat ke pucuk junjung.
    Maksudnya : tiap-tiap pekerjaan hendaklah dilaksanakan mengikut aturannya.
  2. Dijemba-jemba bagai bersiang, dihela surut bagai bertanam.
    Maksudnya : mengatur sesuatu pekerjaan supaya berhasil baik.
  3. Tertumbuk biduk dikelokkan, tertumbuk kata difikiri.
    Maksudnya : kalau menemui kesukaran dalam sesuatu perundingan, hendaklah berusaha mengatasinya.
  4. Air dalam karang menonggok, setanggi campur kemenyan, gula tertumpah pada kanji.
    Maksudnya : usaha yang berhasil baik.
  5. Menunduk kepala menghadap raja, bertentang muka menghadap kawan, bercekak pinggang menghadap musuh.
    Maksudnya : melakukan sesuatu, haruslah mengikut tempat dan keadaan.
  6. Cepat tangan terjembakan, cepat kaki terlangkahkan, cepat mulut terkatakan.
    Maksudnya : jika ingin melakukan sesuatu, maka fikirlah baik buruknya, jangan terlalu cepat ingin membuatnya.
  7. Contoh kepada yang sudah, mengambil tuah kepada yang menang.
    Maksudnya : sesuatu yang hendak diikuti itu mestilah diambil daripada contoh yang memberikan hasil yang baik.
  8. Hidup tidak kerana doa, mati tidak kerana sumpah.
    Maksudnya : berusahalah dengan menggunakan tenaga dan fikiran sendiri dan janganlah terlalu mengharapkan pertolongan orang lain.
  9. Muafakat lalu di dalam gelap, adat lalu di tengah terang
    Maksudnya : sepakatlah melakukan pekerjaan berat dan patuh kepada segala peraturannya.
  10. Sungguhpun batang merdeka, ingat pucuk akan terhempus.
    Maksudnya : dalam melakukan sesuatu kerja, jangan suatu bahagian sahaja yang diingat, tetapi dari awal hingga akhir perlu diteliti.
  11. Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak.
    Maksudnya : jika kita mengingini sesuatu keuntungan sudah menjadi perkara biasa sekiranya mengalami masalah.
  12. Menyorok hilang-hilang, memakan habis-habis.
    Maksudnya : melakukan pekerjaan yang rahsia mestilah menyimpannya betul-betul.

*[petikan dari blog lama 21 Julai 2008]